[Sedih] Masih teringat ciuman ibu

Memang malang tidak berbau, seorang anak ditinggalkan oleh ibu dan dua lagi adik beradik selamanya akibat kemalangan yg tragis. Sangat pilu untuk dibayangkan, baca lagi dibawah ..


Masih teringat ciuman ibu

PEDU - Suasana pilu menyelubungi pekarangan Masjid Jami’ul Khair, Pedu, setibanya jenazah ustazah bersama tiga anaknya yang maut dalam kemalangan di kilometer 7 Jalan Kajang-Banting, Selangor, petang kelmarin.

Dalam kemalangan itu, Rohaya Md Rabi, 35, bersama anaknya, Nur Nabila Al Huda Mohd Taufid, 9; Nur Nabila Al Hanan, 7, dan Mohd Nabil Lutfi Al Hadif, 1, maut di tempat kejadian selepas kenderaan mereka melanggar sebuah lori.

Suasana di masjid itu agak sesak dengan kedatangan saudara mara dan sahabat handai yang mahu melihat jenazah sebelum dikebumikan.

Jenazah tiba di kampungnya jam 4.30 pagi, di Kampung Tanjung Luar, dekat sini, dan dikebumikan pada jam 10.30 pagi dalam satu liang lahad.

Bapa Rohaya, Md Rabi Ariffin, 60, berkata, dia mendapat panggilan pada jam 1 petang dari menantunya, Mohd Tauffid Kassim memaklumkan bahawa anak serta tiga cucunya sudah meninggal dunia akibat kemalangan.

“Pakcik reda dengan pemergian mereka kerana ia sudah ditakdirkan ALLAH. Wajah mereka masih dalam ingatan apatah lagi baru berjumpa ketika Aidilfitri lalu

“Aidilfitri lalu mereka sekeluarga balik seminggu dan Rohaya turut menghadiahkan sebuah mesin penapis air. Dia menasihatkan pakcik supaya minum air dari mesin penapis supaya sakit lutut dapat sembuh. Pakcik tidak sangka ia merupakan hadiah terakhir dari arwah,” katanya.

Sementara itu, anak sulung arwah, Nur Nabila Al Husna, 10, tidak menyangka lambaian ibunya pada pagi Selasa lalu merupakan kali terakhir kepada bapa dan adiknya yang hendak ke sekolah pada waktu pagi.

Menurutnya, pagi itu dia berasa hairan melihat ibunya melakukan kerja dapur secara tergesa-gesa dan gelisah bagi menyiapkan sarapan pagi untuk keluarga.

“Sebelum ini ibu lebih suka melakukan kerja di dapur dengan tenang dan tidak seperti pagi kelmarin. Saya masih teringat ketika mencium ibu sebelum ke sekolah dan. Saya masih terbayang wajah ibu dan tidak menyangka dia akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Pensel Tumpul Copyright © 2011-2012 | Powered by Blogger